HINGGA HUJUNG WAKTU
Saidee Nor Azam
ISBN: 978-967-0342-85-6
Penerbit: Buku Prima
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 659
Harga: RM25.90
Salam.
Selamat tahun baru bookworms sekalian. Petang tadi bila saya mendapat tahu yang
buku RAM terbaru sudah ada di Popular Wangsa Walk, terus saya bergegas ke sana.
Ambil-bayar-balik. Puas hati. Maknanya itulah buku yang pertama saya beli tahun
ini. Saya tidak mahu publish buku itu di sini kerana entri ini khas untuk
review ‘Hingga Hujung Waktu’. Tapi saya rasa bookworms Malaysia pasti sudah
tahu mengenai karya terbaru RAM – Aku Bercerita. Kepada yang sudah pun dapat
buku tersebut, selamat membaca. Tapi jangan review dulu ya. Saya takut ada yang
terjun bangunan sebab belum dapat buku dari penulis yang hangat di pasaran itu.
Hehe.
Kembali
kepada topik. Hingga Hujung Waktu saya tamatkan pada malam tahun baru. Buku
penutup tahun 2012. Baru sekarang nak review. Nampak? Nampak sikap suka
bertangguh saya? Tak dapek den nak nolong.
Novel ini Saidee Nor Azam yang punya. Eh, kenapa bunyi macam cerita
Ahmad Albab? Abaikan. Tak kelakar pun okey. Tapi tak perlu kerut dahi. Baca
saja dengan tenang. Tidak silap saya, ia adalah novel pertama Saidee. Dibeli
masa Alaf21 buat karnival. Memang saya muka diskaun. Maaflah tu!
Mungkin
ada yang kata novel ini seram sebab ada hantu yang ingin membalas dendam.
Mungkin ada yang kata ini novel aksi-thriller-misteri-cinta. Terpulang. Cuma
pada saya ia tidak mendatangkan rasa seram. Mungkin kerana saya kurang
dipengaruhi rasa takut pada sesuatu yang tidak nampak depan mata. Tapi saya
suka bab yang ada lawan-lawan tu. Biasalah, bila baca bab
gaduh-tumbuk-sepak-terajang adrenaline pun naik sekali.
Okey,
kisah Hingga Hujung Waktu digerakkan oleh misteri sebuah jam antik di Mahligai
Cahaya – rumah agam tiga tingkat milik Datuk Osman dan Datin Shamsiah. Jam
antik itu akan berbunyi seperti suara perempuan menjerit tepat pukul 12 tengah
malam, dan hanya berlaku pada setiap malam jumaat sahaja. Ada cerita disebalik
kejadian itu. Klise cerita seram, hantu itu semestinya roh yang tidak tenang.
Plus, mesti mangsa itu mati dibunuh dan mayatnya tidak disempurnakan dengan
sewajarnya. Maka jadilah ia hantu yang membalas dendam.
Di
sini, hantu itu adalah Ayu Aleya yang mati dibunuh oleh Zulkefli, orang suruhan
Datuk Osman. Ayu Aleya merupakan perempuan simpanan Datuk Osman. Ini kes
cemburu. Mayat Ayu Aleya disembunyikan di dalam sebuah jam antik dan berada di
situ selama 4 tahun!!! Datuk Osman dan Zulkefli (suka pada Ayu dalam diam)
cemburu bila Ayu Aleya dan Irfan menyintai satu sama lain. Untuk menghalang hubungan tersebut, Datuk
Osman telah menghantar Irfan ke Australia dengan alasan menjaga perniagaannya
di sana. Semasa di sanalah, Irfan diberitakan yang Ayu telah hilang tanpa
dapat dikesan.
Okey,
Saidee Nor Azam menggunakan penceritaan imbas kembali untuk menghubungkaitkan
perkara yang berlaku. Ia dilakukan dengan sangat teliti dan terperinci. Jadi
tidak ada sebab untuk pembaca rasa keliru bila baca sekejap ke belakang sekejap
ke depan. Datuk Osman menganggap Irfan Rushidi sebagai anak sendiri sementelah
dia dan isterinya tidak memiliki anak. Datuk Osman telah mewariskan segala
hartanya kepada Irfan. Selepas kematian Datuk Osman, Irfan terpaksa kembali ke
Malaysia untuk menguruskan beberapa perkara termasuk mencari Ayu Aleya yang dikatakan
hilang. Pencarian itu dibantu oleh Rashdan, seorang penyiasat persendirian. Di
sinilah mula terbongkarnya rahsia demi rahsia sehingga menjadi kes polis. Sisi
gelap Ayu Aleya mula diketahui dan kematiannya pula mengundang rasa kecewa di
hati Irfan. Inspektor Maria yang mengendalikan kes ini pula mula menaruh hati
pada Irfan namun hanya bertepuk sebelah tangan.
Irfan mengambil keputusan untuk kembali ke Australia.
Di sana dia bertemu dengan Nur Fazura yang mirip wajah Ayu Aleya. Cinta di hati
Irfan berputik kembali. Namun dia tahu Nur Fazura bukanlah Ayu Aleya. Kerana
itu dia mengambil keputusan untuk mengahwini Nur Fazura yang menyintainya
sepenuh hati. Berjayakah mereka menyulam kasih hingga hujung waktu? Baca
sendiri okey. Kalau saya cerita takut akan sama tebal dengan novel ini.
Pada
saya Saidee ini menulis dengan penuh teliti. Plot, watak dan latar diceritakan
dengan penuh terperinci tanpa tertinggal sedikit pun. Kalau ada yang tertinggal
Saidee akan menceritanya secara imbas kembali pula. Ia seperti kalau ada barang
yang terjatuh, Saidee akan berpatah balik dan kutip supaya semuanya lengkap
bila sampai ke hujung. Tidak hairanlah novelnya mencecah 659 mukasurat! Namun
ia bukanlah sesuatu yang membosankan. Minda seakan-akan memaksa mata untuk mengikuti setiap bait ayat tanpa mahu ada satu pun tertinggal. Tiba-tiba saya rasa saya membaca dengan penuh tertib, sama seperti ketika saya membaca novel terjemahan. Perasaan yang sama.
Okeylah, sudah sampai masanya untuk saya menikmati karya Ramlee Awang Murshid yang terbaru pula. Tapi sebelum tu saya ada draf review untuk novel parodi 'Madu Tiga Suku' oleh penulis Wan Azlan. Sudah siap nanti saya publish, okey?
Selamat membaca dan selamat malam.