Isabella
merupakan sebuah novel bertemakan kajian perbandingan agama Islam dan Kristian.
Dengan watak utamanya, Isabella, ia adalah
kisah benar tentang perjuangan seorang gadis kristian yang sentiasa
mencari kebenaran dan mengkaji ilmu ketuhanan. Dilahirkan sebagai seorang
puteri kepada ketua paderi besar Cordoba, dia dididik dengan ilmu agama yang
cukup tinggi sehingga dalam usia yang sangat muda (17 tahun) dia sudah mahir
dalam masalah yang berkaitan dengan keagamaan. Isabella juga sentiasa terlibat
dalam perbincangan mengenai ilmu ketuhanan. Dikurniakan dengan kecantikan wajah
serta peribadi yang anggun, bukan sedikit pemuda-pemuda yang berangan akan
Isabella termasuk para bangsawan dan paderi-paderi (bukankah hati mereka harus
suci dari nafsu?). Namun cita-cita bapa Isabella mahu Isabella mengikut jejak Mariam, ibu Nabi
Isa, tidak berkahwin hingga ke akhir hayat serta mengabdikan diri kepada Jesus Kristus.
Namun
Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Siapa sangka, dari
seorang penganut kristian yang fanatik dan seorang ilmuwan dalam teologi, kini
menjadi seorang muslim yang alim dan warak, seorang pentafsir hadis dan seorang
wanita islam yang sempurna keyakinannya. Tidak sedikit cabaran yang dilalui
untuk menjadi seorang muslim. Namun keyakinannya cukup tinggi terhadap
kebenaran Islam. Dia telah menyerahkan seluruh hidupnya ke jalan Allah.
Isabella meninggal dunia ketika berusia 80 tahun.
Plot
cerita yang berlatarbelakangkan bandar Cordoba, Sepanyol ketika itu menyaksikan
bagaimana kisah Isabella bermula. Pada suatu petang, Isabella bersama 4 orang
rakannya duduk bersantai di sebuah taman yang terkenal dengan keindahannya.
Tidak jauh dari situ, 2 orang pemuda Islam, Umar Lahmi dan Maaz sedang duduk
berbincang mengenai keraguan dalam dasar ajaran agama kristian. Mereka begitu
asyik berbincang sehingga tidak menyedari Isabella dan rakan-rakannya telah
mencuri dengar. Isabella mendengar dengan penuh minat dan cuba mencari jawapan pada persoalan Umar. Dia
bertanya kepada ayahnya, gurunya malah mencari jawapan dalam kitab injil namun
buntu. Hatinya mula timbul rasa ragu dengan dasar ajaran kristian. Untuk
menghilangkan rasa ragu itu, Isabella mengemukakan cadangan agar diadakan
perdebatan di antara cendekiawan islam dan kristian. Semoga keraguan terhadap doktrin ajaran
kristian hilang malah Isabella berniat untuk menarik Umar dan Maaz memeluk
agama kristian sebagai pengajaran kepada umat Islamyang lain.
Dalam
perbincangan pertama, Umar Lahmi meminta penjelasan tentang mengapa St Paul
telah mengatakan yang hukum agama itu suatu kutukan. Adakah ianya benar-benar
suatu kutukan ataupun tidak? Namun tiada jawapan pasti yang diperolehi kerana Father
Peter sentiasa memberikan jawapan yang berbelit-belit. Perbincangan kemudiannya
ditangguhkan ke keesokkan harinya. Disebaliknya pertemuan yang tertangguh itu,
paderi-paderi mula berbalah sesama sendiri.
Isu
perbincanga kedua telah ditetapkan oleh Father Peter. Ianya berkenaan ketuhanan
Kristus dan penebusan dosa. Umar Lahmi memulakan perbincangan dengan membaca
beberapa potong ayat Al-Quran. Ketika inilah sesuatu telah berlaku pada
Isabella. Wajah Isabella kemerahan dan beberapa titik air matanya jatuh meleleh
di pipinya yang merah bersih itu. Kerana terlalu terpesona dengan bacaan ayat
suci itu, Isabella terjatuh dari kerusi. Hal ini menyebabkan para paderi mula
menyangka yang Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam.
Situasi
menjadi lebih teruk bila kedua-dua paderi yang cukup dihormati, Father Peterdan
Father Michael, tidak berupaya menjawab soalan-soalan Umar walaupun ianya dari
Kitab Injil itu sendiri. Ini merupakan tamparan yang cukup hebat sehinggakan
mereka mula mengkritik dan menghina ajaran Islam. Keadaan di dalam gereja itu
bertambah ribut bila Isabella menyebelahi Umar Lahmi (yang merasakan para paderi
itu tidak profesional dalam menangani soal ketuhanan). Father Michael mula
memarahi Isabella sehingga mengatakan yang fikiran Isabella dan rakan-rakannya
telah dirasuk syaitan dan kemungkinan telah murtad.
Nasib
baik ayah Isabella masuk sebelum keadaan bertambah buruk. Ketua paderi itu
menempelak para paderi serta pertemuan
yang diadakan itu. Dia merasa malu dengan ketidakupayaan paderi-paderinya
berhujah dan menganggap ia hanya akan menganggu kepercayaan orang kristian.
Kemarahannya reda bila dipujuk oleh seorang paderi muda dengan alasan yang
munasabah bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk menunjukkan kebenaran
kepada orang-orang Islam yang dianggap kafir itu, dan berharap mereka kembali ke
jalan kebenaran. Setelah terpujuk, ketua paderi itu menjemput Umar Lahmi serta
cendekiawan Islam yang lain ke rumah untuk pertemuan seterusnya. Biar segala
masalah dapat diselaesaikan dengan baik dan bijaksana serta kebenaran tentang
soal ketuhanan mereka akan terjawab.
Pertemuan
ketiga juga tidak seperti yang diharapkan. Persoalan mengenai Tuhan Bapa, Tuhan
Anak dan Roh Kudus menjadikan perbincangan semakin tidak menyebelahi pihak
gereja. Umar Lahmi dengan yakinnya menolak segala dasar ajaran kristian. Umar
Lahmi mengatakan yang Kitab Injil mereka adalah palsu atau kitab asal yang
telah dimanipulasikan demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat menahan asakan
dari Umar Lahmi, Ketua paderi menhalau Umar Serta rakan-rakannya lalu meninggalkan
perbincangan itu. Perkara itu telah
menjadi buah mulut di kalangan penganut kristian yang terkejut dengan sikap
ketua paderi mereka.
Sejak
itu, pegangan Isabella mula goyah bila dia dapat melihat walaupun belum yakin
bahawa agamanya seakan-akan tidak mempunyai dasar dan prinsip yang kukuh. Dia
mula menumpukan perhatiannya mengkaji isi Kitab Injil dan Al-quran secara
senyap. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua
agama itumempunyai kebenaran yang hakiki dan yang mana pula di antaranya yang
tidak benar. Dia turut menemui Umar Lahmi untuk mendapatkan penerangan yang
lebih jelas semasa membuat perbandingan itu. Hati Isabella mula tunduk kepada
Islam namun untuk menukar agamanya adalah sesuatu yang amat sukar. Namun kerana
perasaan yang begitu kuat untuk mencapai kebenaran yang terbentang, Isabella
nekad memeluk Islam. Terlalu banyak kepincangan yang dilihatnya baik dari
ajaran kristian mahupun kehidupan para paderi dan biarawati itu sendiri. Sehinggakan
andai diselak kain dan jubah yang dipakai maka akan ternampaklah kudis-kudis
busuk di badan masing-masing. Walaupun merahsiakan keislamannya, khabar angin tetap bertiup kencang. Nyawa Isabella mula
terancam.
Apabila
dirasakan Isabella sudah tidak dapat dibimbing kembali ke dalam kristian, satu
konspisari dibuat. Isabella diculik dan dibawa ke sebuah rumah lalu dikurung di
bawah tanah. Isabella dipaksa menjalani satu inkuisisi. Dia diseksa dan dihina
namun keimanan Isabella sedikit pun tidak berganjak. Kehilangan Isabella
akhirnya sampai kepada orang Islam. Mereka berpakat untuk menyelamatkan
Isabella. Satu rancangan telah diatur dan operasi menyelamat itu dilakukan oleh
4 orang sahabat Isabella dengan bantuan orang Islam yang lainnya. Sekali lagi
pihak gereja menerima tamparan hebat bila Isabella berjaya diselamatkandengan
begitu mudah. Setelah diselamatkan, Isabella dan sahabat-sahabatnya mendapat
perlindungan dan dikawal ketat oleh pengawal-pengawal Islam. Mereka mempelajari
Islam dengan lebih mendalam dan turut diajar bahasa arab. Beberapa tahun
berlalu, Isabella telah menjadi seorang penganut agama Islam yang berhemah
tinggi dan diberi gelaran sebagai muhaddis di Cordova.
Usai
sahaja membaca, saya menarik nafas. Hati saya amat terkesan dengan watak
Isabella. Seorang yang cintakan ilmu, seorang yang mempunyai keyakinan yang
tinggi terhadap agamanya, seorang yang berani demi kebenaran, malah langsung
tidak gentar menghadapi seksaan fizikal dan mental kerana percaya Allah
sentiasa di sisinya. Risikonya tinggi bila dia memeluk Islam di mana dia tidak
lagi dipedulikan oleh ibunya. Ayahnya yang mementingkan kuasa dan kedudukannya sebagai
ketua paderi hanya membiarkan anaknya ditangkap untuk menjalani inkuisisi. Dia
dibenci oleh para paderi dan biarawati. Namun sahabat-sahabat Isabella tetap
berada di sampingnya. Demi persahabatan, mereka sanggup mengadaikan nyawa demi
menyelamatkan Isabella. Akhirnya mereka ikut memeluk Islam.
Bagi
saya, buku ini memang harus dibaca. Banyak yang kita perolehi dari novel yang
diterjemahkan oleh Dato’ Abdullah Hussain ini. Karya asal ditulis oleh Maulana
Muhammad Saeed Dehlvi dalam bahasa Urdu.
Mesej yang disampaikan juga cukup jelas iaitu Islam adalah agama yang
benar.
Isabella (terjemahan Dato' Abdullah Hussain)
Maulana Muhammad Saeed Dehlvi
Penerbit: Pelima Media Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 271
Harga: RM16.00
Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Beliau merupakan seorang sasterwan negara dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok pada tahun 1981. Selain itu, Dato' Hussain diberi Anugerah Sasterawan Negara (1996), anugerah Dato' Setia Diraja Kedah serta Anugerah Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara. Kedua-dua nugerah itu membawa gelaran Dato'. Karya yang ditulis beliau juga banyak. Antara yang penting adalah Interlok dan Terjebak. Novel Isabella telah menarik perhatian beliau sewaktu melihat-lihat buku di Kedai Buku USM pada tahun 1980.
Selamat membaca.